Tuesday, February 23, 2010

Intervensi Awal dan Peranan Ibu Bapa

Program intervensi awal adalah suatu pakej pendidikan pra-pendidikan formal yang perlu dimanfaatkan. Intervensi awal, walaupun harus bermula apabila seseorang kanak-kanak itu dilahirkan, masih memainkan peranan yang penting sekalipun ia dilaksanakan di mana-mana peringkat umur antara 0 - 5 tahun. Sekiranya program ini diamalkan seawal mungkin, seseorang kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini akan menjadi lebih berupaya dan cukup terangsang bagi menghadapi persekitaran di mana ia berada sebelum dan semasa mengikuti pendidikan formal.

Kejayaan program pendidikan bagi seseorang kanak-kanak dengan keperluan khas bergantung sebahagian besarnya di atas penglibatan dan kerjasama sebenar ibu bapa dan penjaga. Sebahagian yang lain yang menentukan kejayaan mereka adalah penglibatan tenaga pendidik serta peluang-peluang yang disediakan di sekolah.

Oleh kerana sebahagian besar masa membesar dan perkembangan mental, emosi serta kemahiran berlaku di peringkat perkembangan anak selepas lahir sehingga 5 tahun di rumah, peranan serta tanggungjawab keibubapaan pada masa-masa penting ini sebenarnya adalah faktor penentu kejayaan mereka. Sama ada kesempatan ini digunakan oleh ibu bapa atau pun tidak, penggemblengan tenaga guru dan ibu bapa atau penjaga dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada peringkat umur 0 - 5 tahun adalah kemestian yang bakal menjanjikan kejayaan manis bagi mereka yang bermasalah pembelajaran ini.

No comments: