Saturday, March 13, 2010

Ulasan 1

Setiap kanak-kanak yang dilahirkan mewarisi kecerdasan yang membolehkannya belajar dan menyesuaikan diri dengan alam sekeliling. Kecerdasan yang diwarisi dan dengan panceindera, mereka mula menganggap dan memproses rangsangan-rangsangan dari alam sekeliling dan beransur-ansur mula menyusun dan mengatur rangsangan. Dengan lain perkataan, jika seseorang kanak-kanak ingin mencapai matlamat yang lebih kompleks, kanak-kanak itu memerlukan pembelajaran.

Pembelajaran ialah proses yang dimulai dengan penanggapan rangsangan yang diterima oleh pancaindera. Setiap rangsangan itu diproses dan disimpan sebagai pengalaman. Seterusnya, pengalaman yang tersimpan dapat digunakan bagi mencapai matlamat dan bagi menyelesaikan masalah. Proses pembelajaran sebenarnya adalah binaan hipotesis dan tidak dapat dilihat dengan terus. Misalnya di dalam sebuah kelas yang berjumlah 35 orang murid dan seorang guru yang mengajar. Walaupun guru itu mendapati yang murid-murid itu memandangnya, namun guru itu tidak dapat memastikan ada di antara muridnya tidak memahami apa yang diajar dan fikirannya melayang ke tempat lain. Kesan pembelajaran dapat dilihat apabila berlaku perubahan tingkah laku yang terdapat pada diri seseorang daripada peringkat sebelum ia menjalani proses pembelajaran dengan sesudah ia menjalani proses pembelajaran itu.

Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancang. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.

Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti pelajar lain. Justeru, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah. Prestasi mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan bergerak secara normal dalam kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membuat kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan murid lain dalam lingkungan yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam pelajaran. Mereka biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru yang menggunakan kaedah dan prosedur pengajaran yang biasa disebabkan jangka penumpuan yang pendek, kurang kebolehan memindahkan perkara-perkara yang dipelajari. Mereka juga memerlukan lebih dorongan dan benda-benda yang nyata ketika belajar.

Kebanyakan mereka dikenal pasti mengalami masalah pembelajaran semenjak tahun pertama persekolahan. Terdapat dua petunjuk utama masalah pembelajaran. Pertama, walaupun pelajar berupaya belajar, kadar pembelajaran mereka sangat perlahan. Ini disebabkan tahap perkembangan menyerupai kanak-kanak yang lebih muda. Contohnya, tahun dua hanya permulaan belajar abjad, membilang dan menulis namanya sendiri. Kedua, kebanyakan perkembangan ditunda. Mereka gagal setanding dengan mereka yang membangun dalam intelektual dan bahasa, pencapaian akademik, kecekapan sosial dan kemahiran persediaan vokasional.

Walaupun kadar pembelajarannya perlahan, mereka boleh memperoleh pelbagai aktiviti di dalam kelas. Walau bagaimanapun, sebahagian pembelajaran mereka sukar dipelajari. Contohnya kemahiran pemahaman pembacaan adalah lebih sukar berbanding pembacaan biasa. Maksudnya, pelajar kurang berjaya menyelesaikan masalah matematik berbanding pengiraan matematik. Jelaslah pelajar ini sukar menguasai kemahiran pembelajaran apabila berhadapan dengan situasi baru.

Perlu diingat apabila membincangkan mengenai bantuan yang ingin diberi kepada kanak-kanak istimewa ini, ia merujuk kepada semua aktiviti yang dilakukan yang memerlukan mereka belajar.

No comments: