Sunday, March 21, 2010

Ulasan 4 (Penulisan Ilmiah)

Pendidikan untuk semua menegaskan tentang hak semua kanak-kanak untuk diberi pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial mahupun perkembangan intelek kanak-kanak tersebut. Keperluan untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu daripada tanggungjawab sosial yang penting dalam masyarakat. Individu berkeperluan khas yang berada dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti Disleksia, Autisme, Perkembangan Lewat, Hiperaktif dan sebagainya.

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.

Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti murid-murid lain. Justeru, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara normal di sekolah. Prestasi mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan bergerak secara normal dalam kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membantu kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan yang nyata dalam pelajaran.

Kurikulum Kebangsaan tidak dapat memenuhi keperluan murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Ini adalah kerana tahap pencapaian pendidikan murid PKBP secara amnya amat rendah dan peningkatan pencapaian adalah perlahan dan minimum. Objektif yang terdapat dalam kurikulumsedia ada pula terlalu tinggi untuk murid PKBPmenguasai kemahiran yang sesuai dengan tahap keupayaan masing-masing.

Oleh itu terdapat keperluan untuk membina kurikulum yang dapat menyediakan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan murid tersebut. Untuk memenuhi keprluan individu, program pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan “guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas.”

Kemeterian Pelajaran Malaysia telah merangka pelbagai program untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran. Program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) telah diperkenalkan semenjak tahun 1960-an bagi memantapkan usaha membantu kira-kira 100,000 murid sekolah rendah dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Pada tahun 1983, apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan, satu usaha telah diwujudkan untuk membantu murid yang tidak dapat menguasai 3M melalui Program Pemulihan Khas. Bagi memastikan sasaran semua murid sekolah rendah yang tidak mempunyai masalah kesihatan menguasai kemahiran 3M akhir Tahap Satu iaitu selepas tamat persekolahan Tahun Tiga itu tercapai, satu garis panduan berkenaan antara lain menekankan kepentingan penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Khas peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah bagi memantau perkembangan pelaksanaannya. Pengenalan garis panduan itu juga diharap dapat memastikan pelaksanaan program lebih sistematik, sekali gus mengurangkan jumlah murid normal yang masih belum menguasai kemahiran 3M. Selain itu, ia turut membolehkan murid berkeperluan khas iaitu yang mempunyai masalah kesihatan seperti disleksia dan masalah pembelajaran lainnya dikenal pasti sejak awal lagi.

Bermula tahun 2010, Program LINUS telah dilaksanakn bagi menggantikan Program KIA2M (Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis). Program LINUS adalah singkatan dari Literacy & Numeracy Screening di mana Minister Key Performance Indicators (MPKI) KPM telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012. Literasi adalah merujuk kepada kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.

Numerasi pula adalah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian. Program ini akan dilaksanakan bermula pada tahun 2010 (Kohot 1) melibatkan murid-murid di tahun 1 yang akan melalui Saringan 1 (Mac), Saringan 2 (Jun) dan Saringan 3 (September).
Pada dasarnya, kurikulum pendidikan untuk murid berkeperluan khas masih lagi mengalami pelbagai kekurangan iaitu daripada guru terlatih dalam bidang pendidikan khas, kewangan, kemudahan, pakar dan termasuk kurikulum yang sesuai. Di samping itu, belum lagi wujud program intervensi awal yang teratur dan komprehensif bagi membantu kanak-kanak istimewa ini dan juga ibu bapa mereka sebelum mereka masuk ke sekolah. Justeru, usaha mewujudkan pedidikan khas yang berkualiti disertai dengan pelbagai cabaran-cabaran, antaranya:

1) Penyediaan guru terlatih khusus dalam bidang pendidikan khas murid
bermasalah pembelajaran yang mencukupi di semua sekolah.
2) Rancangan pendidikan dan kurikulum yang sesuai dan relevan dengan
kanak-kanak berkeperluan khas dan bermasalah pembelajaran mengikut
keperluan semasa.
3) Penyediaan kewangan dan peralatan-peralatan yang sesuai dan mencukupi.
4) Penyediaan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang mencukupi seperti
ahli psikologi kanak-kanak, audiologi dan pakar terapi pertuturan.
5) Pelaksanaan intervensi awal yang rapi.

Masyarakat hendaklah memahami kanak-kanak istimewa mempunyai impian dan cita-cita untuk bergiat aktif dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik selepas mereka meninggalkan bangku sekolah. Malahan mereka juga bercita-cita melanjutkan pelajaran, berjaya dan bekerjaya. Walaubagaimanapun untuk masa kini impian dan cita-cita mereka belum dapat direalisasikan dengan sepenuhnya.Pada dasarnya, intervensi awal adalah sangat berkesan bagi membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini.

No comments: