Sunday, March 21, 2010

Ulasan 5

Mengira merupakan salah satu kemahiran yang amat dititikberatkan dalam pembelajaran. Ia juga adalah satu bentuk aktiviti yang melibatkan nombor, bentuk, jarak, masa, berat dan sebagainya. Tanpa penguasaan kemahiran ini, individu itu dianggap ketinggalan dalam pelbagai perkara yang berada di sekelilingnya. Dalam hal ini, guru serta ibu bapa kanak-kanak ini memainkan peranan yang amat besar bagi membantu kanak-kanak ini.

Seiring dengan perkembangan teknologi yang berkembang pesat serta penyelidikan yang dijalankan secara meluas, ternyata masalah diskalkulia dan diseleksia ini dapat diatasi. Pada zahirnya, masalah diskalkulia ini jarang diberi perhatian berbanding masalah diseleksia. Kebanyakannya lebih dilabel kepada mempunyai masalah takut kepada matematik atau "mathematics anxiety." Walaupun begitu, ia tetap memberi kesan kepada penghidapnya. Jelas sekali seseorang yang mengalami diskalkulia berkemungkinan mempunyai peluang yang terhad dalam pendidikan dan pilihan kerjaya.

Sebagai seorang guru, perlulah lebih sensitif dan peka terhadap keupayaan murid dalam subjek ini. Guru boleh melihat sekiranya sesorang murid itu terpaksa berhempas pulas mempelajari matematik. Antara yang harus dipandang adalah murid itu kelihatan tidak mempunyai deria terhadap nombor, bermasalah mengira secara menaik atau menurun, gagal mengingat fakta matematik, tidak mampu mengikut prosedur atau melaksanakan strategi, atau mampu melakukan pengiraan matematik tetapi sangat perlahan, takut akan matematik atau cuba mengelak dengan matematik.

Murid yang menghidap diskalkulia amat memerlukan seseorang untuk membantunya belajar matematik. Guru adalah pengajar yang paling rapat dengan murid ini di sekolah. Terdapat pelbagai material yang boleh membantu murid ini belajar. Guru boleh mengenalpasti bahagian di mana murid menghadapi masalah dan merancang pengajaran untuk sesuatu bahagian tersebut. Adalah penting untuk menyedari bahawa kesukaran mungkin daripada kebolehan aras rendah seperti memahami konsep nombor atau mengingat. Guru boleh memulakan dengan menekankan konsep pemahaman dan seterusnya melatih kepada aktiviti pengukuhan dan pengayaan.

Daripada laman web ini ia menggunakan kaedah pengajaran mnemonik (Mnemonic Instructions) untuk mengajar matematik. Terdapat penerangan secara lebih mendalam daripada artikel tersebut.

Antara kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengajar matematik kepada kanak-kanak diskalkulia ini adalah dengan menggunakan multisensory maths teaching tool-tactile method. Keterangan mengenai kaedah ini boleh diperolehi di laman web ini

Selain daripada itu, pelbagai pihak telah membangunkan dan membina laman web yang berkait rapat dengan masalah pembelajaran matematik atau diskalkulia ini. Pelbagai kaedah juga telah dicadangkan dan ada juga yang telahpun dijalankan dan banyak juga yang telah menemui kejayaan dan membantu kanak-kanak bermasalah ini. Seperti kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan, terpulanglah kepada guru untuk merencana teknik pengajarannya supaya ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

No comments: